Bawalah Cawan Kosong

Posted by Lembaga Muslimah DPC Wahdah Islamiyah Bandung On Selasa, 04 Mei 2010 0 komentar

"Esok ada jamuan ringan di sekolah, murid-murid nanti bawa cawan kosong sendiri ya..." Pesan seorang guru kepada anak muridnya.

Keesokan harinya....(perbualan dua orang murid)

"Wana, awak bawa tak cawan kosong yang cikgu minta bawa semalam?"Mira bertanya.

"Saya tak bawa cawan kosong. Saya bawa botol air penuh. Malaslah nak bawa cawan. Saya nak minum air yang saya bawa ni saja. Tak perlu rebut-rebut ambil minuman nanti." Jawab Wana, sedikit angkuh.

Tibalah waktu dinanti, jamuan pun bermula.

"Baiklah, siapa yang bawa cawan kosong, letak di depan ni ya. Cikgu nak tuang satu air special ni. Air ni mahal sangat. Jarang sekali orang boleh minum. Sedap pula tu. Murid-murid semua bertuah tau..."kata cikgunya sambil memuji-muji kehebatan air itu.

Semua murid bangun dengan gembira untuk meletakkan cawan masing-masing kecuali Wana. Dia termangu sendiri. Dek kerana kesombongannya dan sangkaannya yang rendah terhadap permintaan cikgu untuk membawa cawan kosong amat dikesalinya.

Akhirnya, Wana tidak dapat menikmati air yang istimewa itu seperti sahabat-sahabatnya.

***********

Begitulah diibaratkan dengan menuntut ilmu, sahabat semua. Sebagai seorang yang sentiasa cintakan ilmu, kita seharusnya sentiasa menganggap diri ibarat cawan kosong setiap kali menuntut ilmu di majlis-majlis ilmu terutamanya. Dan, walaupun kita pernah mendengar sesebuah tajuk sebelum ini, jangan pernah merasa diri sudah cukup.

Setiap penyampaian ilmu itu akan berbeza penerimaan dan masukannya setiap kali. Mungkin didasari faktor pengalaman. Semakin kita menuntut ilmu, semakin kita harus merasakan diri semakin banyak yang kurang dan harus ditambah. Jangan pernah merasa cukup!

Jadilah ibarat cawan kosong, insyaAllah, kita akan merasakan cawan kita sentiasa bisa diisikan dengan ilmu baru. Jika kita merasakan diri sudah cukup seperti cawan yang penuh, maka kita tidak akan bisa merasakan diri penuh terisi. Bahkan, kita akan merasa rugi kerana cawan yang penuh tadi tidak dapat menampung air yang baru. Malah kita akan pulang dengan air yang sama tanpa sebarang perkembangan dan hal-hal baru.

Maka, ubahlah sikapmu. Jadilah rendah hati apabila bertemu dengan ilmu. Bawalah cawan kosong.
[SyaheeraMy]

0 komentar to Bawalah Cawan Kosong

Posting Komentar